Cukup dua minggu aku berada di ibu kota, menjalani kehidupan yang baru, menganjakkan diri kepada sesuatu yang dikatakan keperluan hidup, bekerja di sektor swasta walaupun ia dikatakan sebagai satu latihan bukanlah bermakna kehadiran aku di sini untuk menjenguk mahupun memantau ataupun sekadar meluluskan pengajian yang semakin berada di kemuncak tetapi hakikatnya aku di sini bagi mendapatkan seberapa ilmu yang mampu dan belajar sesuatu yang akan berguna untuk hari-hari mendatang. Walaupun aku dan beberapa teman yang sama-sama menjalani latihan di sini tidak digalakkan untuk memanjat menara komunikasi di atas ketiadaan transkripsi yang sah tetapi atas dasar sebagai pembelajaran, memahami kesukaran yang dialami pekerja-pekerja di sini sewaktu menjalankan tugas, aku beranikan diri memanjat setiap anak tangga menara jika berpeluang. Percayalah, tugas memanjat menara ini bukanlah tugas mudah, memanjat setiap anak tangga yang bersudut 90 darjah dengan ketinggian melebihi 30 meter sehingga 90 meter, tugas ini amat berisiko yang memerlukan persediaan mental dan fizikal yang maksimum, sedikit kesilapan pasti mengundang padah. Tapi inilah kehidupan, amat benar seperti termaktub di dalam judul sebuah lagu dendangan Hark!, sebuah kugiran daripada seberang iaitu ‘jual daki untuk sesuap nasi ‘ dan inilah yang aku dapat rasai sedikit sebanyak. Berada di tempat yang tinggi, senantiasa dihembusi oleh angin yang mendayu tetapi pada masa yang sama tubuh dibasahi peluh yang berpunca daripada memikirkan risiko yang bakal dialami sewaktu menjalankan tugas dan ini sepatutnya menyedarkan kita betapa getirnya tugasan mereka dan pastinya kita harus menghargai setiap tugasan yang dilakukan oleh pekerja sebegini.
Bayangkan, sekiranya satu sistem di antena itu mengalami masalah yang membuatkan perbualan antara kita dan seorang teman terganggu, apa yang sering kita ungkapkan? Sekiranya bahasa kesat, anda perlu belajar untuk bersabar! Apabila ini berlaku, setiap pekerja yang ditanggungjawabkan untuk memperbaiki sistem ini perlu segera berkejar ke destinasi yang mengalami kerosakan tersebut, sekiranya melebihi 24 jam sistem itu gagal dibaiki, efeknya cukup besar, ya kerugian yang aku maksudkan, bukan sedikit dan risikonya mungkin melibatkan syarikat mengalami bangkrap. Sebab itulah aku merasakan setiap pekerjaan yang mencabar sebegini harus dihargai. Kami bagaikan satu keluarga, itu amat aku rasai, walaupun perbezaan umur agak ketara di sini, keakraban sesama kami memang tidak dibataskan, kelihatan seperti tiada langsung perbezaan struktur kerja di antara setiap pekerja di sini, sama sahaja, bagaikan tiada apa yang membataskan antara pekerja terlatih dan ketua di sini. Kerjasama sebagai satu pasukan dan tanggungjawab pada setiap tugasan masing-masing, itulah antara yang diterapkan di sini. Sebab itulah aku amat senang hati berada di sini. Sekiranya suatu hari nanti aku memiliki beberapa pekerja di bawah jagaan aku, inilah yang akan aku terapkan. Sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu terawal aku di sini, pembelajaran yang terpenting aku pelajari adalah menghargai setiap individu yang selama ini bekerja keras untuk kebaikan semua penduduk amnya di Malaysia dan aku berharap apa yang ingin aku kongsikan bersama kamu semua mampu membuatkan kita sedar akan sesuatu yang mungkin selama ini kita abaikan.
No comments:
Post a Comment